Makanan Sunnah

 

KURMA ialah buah yang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C dan juga niasin. Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma sesuai untuk wanita sama ada semasa hamil dan selepas bersalin. Hal ini berasaskan kepada wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada ibu Nabi Isa AS iaitu Maryam binti Imran supaya memakan buah kurma ketika beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin. Ia amat berkesan merawat gangguan usus yang kronik, membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan serta mencergaskan minda dan membantu tumbesaran kanak-kanak. Ia juga membantu melicinkan perjalanan darah dan menghindari pelbagai penyakit serta membantu mengurangkan pengaliran darah semasa kelahiran.

 

HABBATUS SAUDA’ digunakan untuk membantu merawat batuk, selsema, keguguran rambut, masalah untuk tidur, sakit-sakit otot dan sendi, rasa loya dan muntah, mengurangkan kolesterol, serta pelbagai penyakit lain. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ”Gunakanlah Habbatus Sauda’ kerana di dalamnya terdapat sejenis ubat bagi segala jenis macam penyakit kecuali As-Saam (maut).” (HR Bukhari & Muslim). Ibnu Qayyim menyatakan bahawa Habbatus Sauda’ berupaya memulihkan penyakit-penyakit seperti batuk, bronchitis, masalah perut, kecacingan, masalah kulit seperti jerawat, sakit senggugut dan haid, menambah susu badan, menambah pengaliran air liur dan sebagainya. Kajian juga mendapati ia mempertingkatkan ketahanan badan terhadap penyakit.

 

BUAH TIIN adalah buah yang lembut serta mudah dihadam dan mengandungi serat yang tinggi. Di dalam Al-Quran, terdapat sebuah surah yang dinamakan ‘At-Tiin’. Kajian yang dijalankan membuktikan bahawa buah Tiin memberi kesan dan penawar kepada penyakit buasir, bengkak-bengkak pada badan, melawaskan air kencing serta merawat batuk yang berpanjangan.

 

BUAH DELIMA adalah sejenis buah yang terdapat di dalam syurga. Ia yang kaya dengan unsur zat besi dianggap sebagai unsur penting dalam pembentukan darah merah. Kekurangan zat besi akan menyebabkan penyakit anemia. Buah delima juga boleh memperbaiki usus-usus dan menguatkannya, membersihkan bahagian dalam tekak serta sesuai untuk mereka yang mengalami masalah batuk. Ia juga boleh mencegah dari muntah, menghentikan cirit-birit dan melawaskan air kencing.

 

KISMIS mempunyai banyak khasiat pemakanan, serat, anti-oksidan, vitamin dan kalium yang merupakan nutrien penting untuk badan. Ia telah lama dikenali sebagai makanan tambahan yang mampu merangsang minda dalam melahirkan generasi genius. Ia juga didapati berupaya melawan bakteria penyebab kerosakan gigi dan gusi. Kajian juga mendapati kismis yang kaya dengan potassium dan rendah dalam sodium membantu masalah tekanan darah. Malah, khasiat daripada kismis juga boleh melemahkan perkembangan penyakit-penyakit organ dalam badan. Selain itu, kismis juga mengandungi fiber dan asid tartaric. Ia juga baik untuk kesihatan tulang dalam badan, awet muda serta membantu merawat sembelit.

 

ZA’FARAN ialah sejenis tumbuhan herba terwangi dan termahal di dunia dan juga dikenali juga sebagai ‘King of Spices’. Ia membantu mencerdaskan minda, merawat pelbagai penyakit termasuk sakit tekak dan tonsil, serta menghindarkan batuk dan selsema, Juga membantu merawat sakit kepala dan muntah-muntah. Selain itu, ia memudahkan penghadaman, menghilangkan bau mulut, membuang angin dan asid yang berkumpul dalam perut, Ia juga baik bagi pertumbuhan akal dan fizikal bayi serta kanak-kanak, Ia juga berupaya merawat masalah kemurungan & runsing serta menguatkan ingatan dan menghilangkan keletihan.

 

MADU LEBAH mempunyai pelbagai khasiat yang memberi sumbangan yang besar bagi kesejahteraan kehidupan manusia. Terdapat satu surah di dalam Al-Quran yang dinamakan Surah An-Nahl (lebah). Madu lebah mengandungi bahan anti-oksidan yang menghalang kanser. Ia juga berupaya mengekalkan kemudaan (awet muda), merawat sakit perut, menghilangkan kahak, memutih dan menguatkan gigi.serta menguatkan badan bagi yang berumur selain merangsang tenaga batin. Ia juga menstabilkan kandungan gula dalam darah apabila digunakan bagi menggantikan gula. Selain itu, madu lebah juga memudahkan proses penghadaman, memulihkan penyakit yang berpanjangan serta menguatkan jantung dan buah pinggang.

 

BUAH ZAITUN ialah sejenis buah yang berkhasiat dan bermanfaat sebagai sumber makanan dan ubatan. Segala yang terdapat pada pohon zaitun memberi manfaat kepada manusia bermula dari minyak, kayu, daun dan buahnya. Buahnya dapat membaik pulih perut, mengeluarkan cacing, menghaluskan kulit, penawar racun, melambatkan proses penuaan serta amat baik untuk mencegah penyakit jantung.